Selasa, 25 Oktober 2011

Wednesday, 19 October 2011 , Hajah Saemah Zulkefli

Awas Penceroboh Di Sekolah

media-permata
Kuala Belait - Laporan percubaan menculik kanak-kanak sekolah baru-baru ini di beberapa buah sekolah telah mencetuskan kebimbangan di kalangan ibu bapa disusuli amaran peringatan yang disebarkan secara meluas melalui e-mel dan rangkaian sosial Facebook.
 
Berikutan amaran itu, beberapa buah sekolah kerajaan dan swasta berusaha melindungi pelajar daripada kejadian tidak diingini dengan mengawal keselamatan pelajar di sekolah,

Di Daerah Tutong, sebuah sekolah kerajaan melaporkan bahawa penceroboh yang tidak dikenali dikatakan memujuk pelajar pulang bersama mereka dengan mendakwa mereka dihantar oleh ibu bapa pelajar terbabit, namun ditolak oleh pelajar.

Kejadian dikatakan berulang beberapa kali minggu lalu dan ibu bapa melaporkan kepada pihak sekolah. Berikutan perkembangan ini, pihak sekolah telah mengambil langkah berjaga-jaga terutama sekali di sekolah rendah. Pihak sekolah juga mengeluarkan surat pemberitahuan kepada ibu bapa meminta mereka mengingatkan anak-anak supaya tidak menerima sebarang pelawaan atau tawaran tumpang pulang ke rumah daripada orang yang tidak mereka kenali.

Guru dan kakitangan sekolah juga diarahkan untuk memantau pergerakan pelajar di samping memastikan keselamatan kawasan sekolah.

Selain itu, pelajar diberi taklimat mengenai peraturan keselamatan seperti tidak bercakap dengan prang tidak dikenali atau menerima tawaran menumpang daripada orang sembarangan.

Kejadian seumpama ini telah dilaporkan kepada pihak polis di Daerah Tutong. Sementara itu, Media Permata turut menerima aduan daripada ibu bapa yang mendakwa kejadian sama berlaku di sekolah anaknya di Daerah Belait.

Sehubungan itu, ibu bapa berharap agar pihak sekolah mengambil inisiatif memastikan keselamatan kawasan sekolah dan tidak membenarkan orang-orang tidak dikenali memasuki pintu sekolah selain mengawasi pelajar sehingga ibu bapa mereka datang mengambil mereka.

Polis ketika dihubungi bagaimanapun mengatakan tidak ada laporan sebarang kejadian seumpamanya berlaku di Daerah Belait setakat ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan